http://ads.harakahdaily.net/ads/ads_banner/advert_top/banner-habatus-sauda.gif

26.11.09

Selamat Hari Raya



selamat hari raya buat rakan rakan ham semua
maaf zahir & batin

18.11.09

AWAS! Bahaya Telefon Bimbit "Under Water" - Suruhanjaya Komunikasi

BUTTERWORTH: AWAS! Orang-ramai perlu memastikan telefon bimbit yang mereka gunakan mempunyai perakuan keselamatan daripada SIRIM serta maklumat mengenai kadar penembusan spesifik radiasi (SAR) untuk keselamatan diri sendiri.

Dan ini termasuklah menggunakan telefon bimbit murah atau lebih dikenali sebagai "under water" di pasaran.

Timbalan Pengarah Bahagian Teknologi, Standard dan Rangkaian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Rizal Abdul Malek berkata, telefon bimbit yang dijual di pasaran dengan harga yang murah dikhuatiri tidak dilengkapkan dengan ciri-ciri keselamatan.

"Kita tidak menggalakkan orang-ramai menggunakan telefon bimbit sedemikian kerana ia mungkin mendedahkan penggunanya kepada penembusan radiasi yang melebihi kadar sepatutnya atau bahaya yang lain," katanya ketika ditemui selepas Seminar Radiasi Gelombang Radio anjuran SKMM di sini hari ini.

Menurutnya, kebanyakan telefon bimbit berjenama mempunyai ciri keselamatan yang ditetapkan serta meletakkan maklumat tahap SAR pada tempat meletak baterinya.

"Seelok-eloknya carilah telefon bimbit yang mempunyai tahap pengaliran tenaga atau radiasi kurang daripada 2 Watt per kilogram (2W/kg)," katanya.

Beliau menambah, telefon bimbit murah atau "under water" yang dibawa masuk dari luar negara tanpa mendapat kebenaran SKMM dan pengesahan SIRIM mungkin mengundang bahaya kepada pengguna.

Rizal berkata, adalah menjadi satu kesalahan menurut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Muktimedia 1998 bagi mana-mana pihak yang menjual setiap kelengkapan komunikasi termasuk telefon bimbit tanpa kebenaran SKMM serta perakuan SIRIM.

Sehubungan dengan itu, orang-ramai diminta membuat aduan kepada SKMM jika mendapati telefon yang dibeli tidak mempunyai ciri keselamatan dan perakuan berkenaan.

Telefon bimbit mengeluarkan radiasi frekuensi radio (RF) yang menggantikan fungsi kabel semasa ia membawa suara dan mesej ke stesen pangkalan telefon berhampiran dan tahap radiasinya sangat lemah jika dibandingkan dengan radiasi yang dikeluarkan semasa proses sinaran x.

26.10.09

Topi keledar GIVI Roma pelbagai saiz lebih selamat




KUALA LUMPUR - Hanya terdapat dua saiz topi keledar yang dijual di pasaran tempatan dan menurut kajian bahawa 60 peratus punca kematian penunggang dan pembonceng motosikal di negara ini disebabkan oleh kecederaan pada bahagian kepala.

Ini bermakna saiz topi keledar perlu disesuaikan dengan struktur kepala pengguna motosikal.

Menyedari hakikat tersebut, GIVI Asia Sdn. Bhd. (GIVI Asia) telah memperkenalkan topi keledar baru yang dikenali sebagai GIVI Roma sebagai usaha mengurangkan statistik kemalangan dan kematian di kalangan penunggang dan pembonceng motosikal di negara ini.

Pengurus Operasi Luar Negara (GIVI Asia), Joseph Perucca berkata, produk terbaru itu didatangkan dengan empat saiz pilihan iaitu S, M, L dan XL yang direka khas mengikut struktur fizikal kepala penduduk Asia sebagai usaha memastikan pemakaian saiz topi keledar yang betul dapat dilaksanakan.

"Selain mempunyai struktur bentuk mengikut kepala, GIVI Roma dicipta untuk keselesaan pada lapisan dalaman serta membolehkan peralihan udara di dalamnya. Lapisan itu juga boleh ditanggalkan untuk dicuci," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran produk terbaru itu di sini baru-baru ini.

25.10.09

Kecemerlangan rangkaian produk Toshiba


PRODUK televisyen Regza juga kini ditampilkan dengan keupayaan paparan cemerlang.


PENERAJU inovasi bagi kelengkapan elektrik di rumah, Toshiba baru-baru ini telah tampil dengan rangkaian produk-produk moden berteknologi terkini.

Ia merangkumi produk mesin basuh, peti sejuk, televisyen dan juga periuk nasi elektrik pelbagai guna.

Menurut Pengarah Urusan Toshiba Sales & Services Sdn. Bhd., Yutaka Nakanishi, kehadiran kesemua peralatan tersebut menunjukkan komitmen pihaknya untuk memberi kepuasan maksimum kepada pengguna.

''Kesemua produk ini bukan sahaja ditampilkan dengan fungsi teknologi cemerlang, malah ia juga didatangkan dalam rekaan dan prestasi terbaik selain memberi penekanan kepada penjimatan tenaga dan penjagaan alam sekitar,'' jelasnya pada pelancaran pameran produk-produk berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Untuk produk mesin basuh, ia ditampilkan dalam model automatik penuh dan separa automatik dengan kehadiran penakung Star Crystal yang dapat menjalankan operasi pembersihan dengan lebih lembut tanpa merosakkan fabrik.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan kekunci gear untuk pelaksanaan operasi yang lebih senyap dan kurang gegaran.

Lebih menarik, model mesin basuh seperti AW-SD150SM, AW-8570SM dan VH-7200EM itu juga menawarkan penjimatan tenaga sehingga 20 peratus.

Bagi produk peti sejuk, Toshiba telah memperkenalkan model dalam tiga kategori iaitu Direct Cooling, Hybrid Plasma Deodorizer dan Hybrid Guard System.

Kesemua model berkenaan dilengkapi dengan peningkatan teknologi pengaliran udara sejuk yang lebih efisien dan kawalan suhu yang lebih stabil.

Menerusi fungsi pancaran ultra violet yang dihasilkan pada bahagian penyejukan, ia dapat menghapuskan lebih 95 peratus bakteria pada makanan yang disimpan.

Seterusnya, untuk periuk nasi pelbagai guna pula, ia dilengkapi bersama menu sentuhan mudah untuk kemudahan menjalankan operasi seperti memasak, mengukus, merebus, memanas dan juga membuat kek.

Apa yang menarik, butang kawalan panelnya dilengkapi dengan ciri mesra pengguna untuk golongan kurang upaya iaitu fungsi braille.

Akhir sekali, bagi produk audio visualnya, Toshiba telah memperkenalkan rangkaian televisyen LCD Regza yang menampilkan kuasa Meta Brain dengan keupayaan paparan satu bilion warna.

Selain itu, menerusi kawalan lampu belakang pintarnya, paparan imej akan menjadi lebih jelas dan terang.

Lebih menarik, melalui teknologi pengesan lampu ambien, kecerahan paparan pada televisyen adalah bergantung kepada keadaan cahaya sekitar.

Model-model televisyen berkenaan ditampilkan dalam tiga seri iaitu siri-Z HD, siri-RV HD serta siri-AV HD Ready.

Informasi lanjut mengenai produk-produk tersebut boleh diperolehi dari laman web www.toshiba.com.my.

4.10.09

Susulan gempa bumi Padang: 4,000 dipercayai terperangkap di bawah tanah runtuh


PADANG (Indonesia): Semua kampung yang terletak di zon gempa bumi di Indonesia telah musnah akibat tanah runtuh, dengan pasukan penyelamat sedang bertungkus-lumus menjejaki 4,000 orang yang dipercayai masih terperangkap di kawasan bencana itu.

Tahap kerosakan akibat gempa bumi dengan magnitud 7.6 itu kini meningkat dengan tumpuan kini kepada beratus kampung yang terletak di kawasan bukit di luar Padang, bandar dengan sejuta penduduk yang paling teruk dilanda bencana itu.

Wartawan AFP yang menjelajah ke kawasan pesisir di kepulauan Sumatera hingga yang dikelilingi pergunungan menemui sejumlah rumah yang musnah di atas jalan-jalan yang curam dan empat kampung didapati telah tertimbus.

Ketua delegasi Indonesia bagi Persekutuan Palang Merah Antarabangsa dan Persatuan Bulan Sabit Merah, Bob McKerrow berkata, gambar-gambar antena menunjukkan tahap kerosakan yang berlaku di kawasan terpencil yang bergunung-ganang.

Katanya, beratus-ratus kampung berada dalam zon bencana dan penduduk beberapa kampung yang dilawati dilaporkan telah terbunuh dan mengalami kecederaan teruk serta memerlukan rawatan.

Pasukan penyelamat asing dengan anjing pengesan dan peralatan infra merah telah ditugaskan untuk membantu krew kecemasan Indonesia.

"Kami menganggarkan kira-kira 3,000 hingga 4,000 orang masih terperangkap atau tertimbus di bawah runtuhan," kata Penyelaras Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Indonesia, El-Mostafa Benlamlih. AFP

3.10.09

Terkejut lihat sejadah berdiri


MOHAMAD Shuhaimi (kiri) bersama beberapa jirannya melihat sejadah miliknya yang 'berdiri' di Permatang Pauh, Bukit Mertajam semalam.


BUKIT MERTAJAM - Jika pada pertengahan bulan lalu, penduduk di Kampung Tok Sangkut, Repek, Pasir Mas digemparkan dengan kejadian sejadah 'berdiri' yang menyerupai orang sedang bersembahyang, kejadian yang sama berlaku di Permatang Pauh di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian di Taman Haji Mohd. Amin itu, sepasang suami isteri yang berselisih faham mengenai arah kiblat di rumah mereka terkejut apabila sejadah yang terdapat dalam salah sebuah bilik tiba-tiba 'berdiri' menyerupai orang sedang bersembahyang dalam keadaan duduk antara dua sujud.

Menurut Mohamad Shuhaimi Md. Ilias, 26, sebelum kejadian itu, dia bersama isterinya, Zainab Ramli, 26, yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di taman itu telah berbincang sesama sendiri untuk mendapatkan kepastian arah kiblat dengan menjadikan arah kiblat sebuah masjid berhampiran rumah sebagai panduan.

"Sebaik tiba di rumah kira-kira pukul 8.10 malam (kelmarin), isteri saya telah membentangkan sehelai sejadah yang sering kami gunakan untuk menunjukkan kepada saya arah kiblat.

"Tidak lama kemudian, kami pun membiarkan sejadah berkenaan terbentang dan saya terus ke ruang tamu untuk memandikan anak kami manakala isteri saya menggosok pakaian di dalam bilik dengan membelakangkan sejadah tersebut," katanya yang telah menyewa rumah berkenaan sejak lebih setahun lalu.

Menurutnya, kira-kira pukul 9.45 malam ketika isterinya ingin menggantung pakaian yang sudah digosok, tiba-tiba dia terlihat sejadah tersebut sudah 'berdiri' tegak melebihi 0.3 meter dan membentuk seperti seorang wanita yang sedang bersembahyang menghadap arah kiblat.

Projek I-Sharp Bernilai RM200 Juta Bakal Ubah Wajah Setiu

SETIU, 3 Okt (Bernama) -- Projek Taman Akuakultur Udang Bersepadu atau lebih dikenali sebagai "Integrated Shrimp Aquaculture Park (i-SHARP) yang bernilai RM200 juta bakal mengubah wajah Setiu, sebuah perkampungan nelayan terpencil, menjadi ladang udang berintegrasi terbesar di Malaysia.

Projek i-SHARP yang akan mula beroperasi pada hujung tahun depan juga dijangka memberi peluang pekerjaan kepada 1,300 penduduk setempat dan menjana pendapatan kebanyakan mereka yang majoritinya kini bergantung kepada hasil laut sebagai nelayan.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Blue Archipelago Bhd (Blue Archipelago), Dr Shahridan Faiez berkata projek penternakan udang kawasan seluas 1,200 hektar yang asalnya hutan gelam milik kerajaan negeri itu akan dijalankan dalam tiga fasa, dengan fasa pertama dimulakan di tapak seluas 400 hektar.

"Jabatan Alam Sekitar juga telah memberi kelulusan kepada Blue Archipelago untuk melaksanakan i-SHARP dengan syarat yang cukup menitikberatkan isu-isu penjagaan ekologi dan alam sekitar.

"Kini proses pembersihan tapak projek telahpun dimulakan. Ladang ini akan turut dilengkapi makmal dan pusat pembenihan udang," katanya kepada pemberita di sini, pada Sabtu.

Majlis pelancaran yang diadakan serentak dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Indusri Asas Tani Terengganu, Rozi Mamat yang mewakili Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.

Dr Shahridan berkata dua jenis udang iaitu udang putih (Litopenaeus Vannamei) dan udang harimau (Peneaus Monodon) berkualiti tinggi yang diternak di ladang berkenaan akan dipasarkan di Kesatuan Eropah (EU), Jepun dan juga Amerika Syarikat.

"Sebanyak 10,000 hingga 12,000 tan udang putih dan 5,000 tan udang harimau yang menepati piawaian pasaran antarabangsa dijangka dapat dihasilkan setahun dengan jualan di tahap pengeluaran optimum pula dijangka melebihi RM100 juta setahun," katanya.

Menurut beliau projek berkenaan agak unik kerana ia bukan sahaja melibatkan pelaburan daripada syarikat swasta, malah mendapat kerjasama antara kerajaan pusat yang menyediakan dana dan infrastruktur dan kerajaan negeri yang menyediakan tanah untuk tapak projek.

"Diinspirasikan kejayaan bidang elektronik yang dilaksanakan sebelum ini, projek i-SHARP juga menekankan konsep pembangunan modal insan, 90 peratus daripada tenaga kerja di sini akan dipastikan terdiri daripada anak tempatan yang akan diberi latihan secukupnya hasil kerjasama kita dengan Universiti Putra Malaysia," katanya.

Projek i-SHARP juga sebelum ini telah dikenalpasti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai satu projek rangsangan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Negara 2009, katanya.

Blue Archipelago Berhad adalah anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Melalui syarikat itu, Khazanah telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan pusat untuk melaksanakan aktiviti akuakultur udang khusus menjadi pemangkin dan meningkatkan produktiviti udang negara, sekaligus membawa kemajuan dan peluang ekonomi di kawasan pedalaman.

Blue Archipelago sebelum ini telah diamanahkan untuk mengurus Ladang Udang di Kerpan, Ayer Hitam, Kedah sejak 30 tahun lalu.

Sehingga kini Ladang Kerpan berupaya menghasilkan udang bernilai RM20 juta setahun serta mewujudkan 500 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

-- BERNAMA

1.10.09

Putrajaya hantar tiga pesawat bawa balik 300 pelajar Malaysia menjelang tengah malam ini (Khamis)

PUTRAJAYA: Para pegawai daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berlepas ke Padang, Sumatera bersama tiga pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk membawa pulang 300 penuntut Malaysia yang menjadi mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera.

Pesawat pertama dijangka tiba semula ke tanahair menjelang tengah malam ini di Pangkalan TUDM Subang dan diikuti oleh dua lagi pesawat beberapa jam kemudian.

Pihak Kementerian telahpun menyediakan asrama sementara di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang bagi menempatkan pelajar Malaysia yang tidak sempat untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sekiranya pesawat yang membawa mereka pulang tiba lewat.

Ketibaan mereka akan disambut oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama para pegawai tinggi kementerian dan juga ibu-bapa serta keluarga penuntut Malaysia.

Pegawai Khas kepada Menteri Pengajian Tinggi, Mohd Arif Adenan ketika dihubungi oleh Mstar Online mengesahkan rombongan tersebut diketuai oleh Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar KPT, Profesor Dr Mohd Fauzi Ramlan bersama Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) Indonesia, Dr Junaidy Abu Bakar dan dua lagi pegawai dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar.

Mereka bertolak ke sana atas arahan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selepas diputuskan pada mesyuarat Pasca Kabinet KPT di kementerian semalam.

Mohd Arif berkata, pelajar-pelajar Malaysia yang terkandas di Padang ada di antaranya sudah dua hari tidak menjamah makanan yang sempurna.

Mereka juga katanya, mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih.

Atas sebab itulah juga kata Arif, rombongan kementerian turut membawa bersama bekalan makanan dan air bersih.

Rombongan pihak kementerian juga katanya turut membawa kelengkapan khemah serta selimut memandangkan masih terdapat 30 orang lagi pelajar Malaysia yang tidak dapat dibawa pulang malam ini kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.

Mohd Arif berkata, Padang pada ketika ini masih dilanda hujan lebat dan keadaan di sana agak teruk.

Kepada soalan sama ada terdapat pelajar Malaysia yang benar-benar tercedera akibat kejadian semalam, Mohd Arif mengesahkan setakat ini dua pelajar kita - seorang lelaki dan seorang perempuan mengalami cedera ringan.

Seorang masih dirawat di salah sebuah hospital di sana.

“Tetapi yang menjadi kebimbangan kita ialah trauma yang dihadapi oleh para pelajar kita dan juga keadaan para pelajar kita yang lain kerana laporan menyebut bangunan universiti di mana mereka belajar mengalami kerosakan teruk,” kata Mohd Arif.

Sementara itu laporan awal menyebut pihak kedutaan Malaysia di Jakarta memang telah bersedia untuk menguruskan perpindahan kesemua 330 orang penuntut Malaysia di Padang ke tanah air sehingga keadaan selepas gempa bumi yang berukuran 7.6 pada skala Richter di ibu kota Sumatera Barat itu pulih.

Agensi Berita Nasional (Bernama) memetik Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Amran Mohamed Zain sebagai berkata, kemungkinannya ialah dengan membawa mereka pulang menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia sebaik Lapangan Terbang Minangkabau, Padang dibuka semula.

"Membawa mereka pulang merupakan pilihan terbaik kerana jika tetap di Padang pun, mereka tidak akan merasa nyaman dalam keadaan serba kekurangan buat masa ini. Apatah lagi semua kuliah juga sudah dibatalkan," katanya ketika dihubungi Bernama pagi Khamis.

Tambah beliau lagi, Kedutaan Besar telah menghantar para pegawai Pejabat Konsul Malaysia di Medan dan Pekan Baru untuk ke Padang dan membuat penilaian keadaan tempat tinggal, bantuan pakaian dan bekalan makanan yang diperlukan bagi para penuntut Malaysia.

"Jika pasukan penilai ini mencadangkan supaya kita memindahkan para pelajar kita, kita akan selaraskan pergerakan dan jadual dengan Wisma Putra," katanya.

Sementara itu, sebuah bilik gerakan dibuka di Konsul Malaysia di Medan sejak petang semalam untuk menyelaraskan maklumat mengenai para penuntut di Padang dan melayani pertanyaan para ibu bapa melalui talian 006-26145531342.

Kebanyakan penuntut Malaysia itu sedang belajar dalam bidang kedoktoran di Universiti Andalas, yang dilaporkan rosak teruk di semua bangunannya termasuklah bangunan Fakulti Perubatan, yang dilaporkan runtuh.

Sehingga malam tadi, mereka berada dalam keadaan selamat walaupun, menurut Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Dr Junaidi Abu Bakar.

"Pada waktu ini mereka berkumpul dalam keadaan basah ditimpa hujan, tanpa makanan dan minuman."

26.9.09

Beri biru hilangkan mengantuk

MENGUNYAH semangkuk beri biru yang kaya dengan vitamin C dan E ketika sarapan pagi mampu menghentikan rasa letih pada waktu tengah hari.

Penyelidik mendapati dengan pengambilan buah-buahan, ia dapat membantu meningkatkan daya tumpuan dan ingatan sehingga lima jam kemudiannya.

Menurut penyelidik dari Universiti Reading, Britain, Dr Jeremy Spencer, kandungan antioksida yang terdapat dalam beri biru meningkatkan aliran darah dan oksigen ke otak, sekali gus menjadikan otak sentiasa cergas.

21.9.09

Perutusan Hari Raya Mursyidul Am PAS

http://www.rindok.com/blog/wp-content/uploads/2009/03/nik-aziz.jpg


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu." (Surah Al Baqarah : 185)

Setelah kita berpuasa, bertarawikh, berqiyamullail, bertadarus, bersedekah, berzikir dan sebagainya sepanjang Ramadhan, Allah S.W.T menyuruh kita bertakbir dalam berhari raya.

Takbir ialah sebutan Allahu Akbar yang bermaksud "Allah Adalah Yang Terbesar". Manakala yang lainnya adalah yang paling kecil dan mesti dipinggirkan apabila bertembung dengan Kehendak Allah S.W.T.

Malangnya ramai orang yang menyebut Allahu Akbar sebagai satu tradisi sahaja. Inilah masalah besar yang berlaku di kalangan umat Islam sejak kebelakangan ini.

Hari Raya bukanlah tradisi ciptaan orang Arab, bukan juga tradisi ciptaan orang Melayu. Bahkan ia merupakan kehendak agama.

Antara nikmat berhari raya ialah kita boleh makan dan minum setelah sebulan penuh tak boleh makan harta sendiri. Nikmat ini tak dapat dirasai oleh orang yang tidak berpuasa. Orang yang perutnya kenyang sepanjang tahun, tak terasa sedikit pun kemanisan nikmat ini.

Apabila disebut hari raya, buka saja anak kecil bahkan orang tua dan orang sakit pun turut berseronok sama. Islam minta kita bersukaria dengan amalan ziarah dan bermaafan antara satu sama lain.

Pada hari raya kita tak dibenarkan berpuasa sekalipun puasa itu sendiri adalah ibadat. Tapi dalam persoalan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya, kita tak boleh buat pandai-pandai.

Apabila Allah Ta'ala minta kita mengerjakan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya mengikut cara dan masa yang telah ditentukan.

Begitu juga dalam kita berhari raya, tak boleh kita buat ikut pandai sendiri. Kita berseronok dalam lingkungan yang dikehendaki oleh Allah. Sebab itu kita tak boleh berhari raya dengan pakaian, pergaulan, makan minum dan hiburan yang terlarang dan berunsur maksiat.

Berapa ramai anak-anak mengalami putus jari tangan, buta mata, muka melecur dan sebagainya akibat bermain mercun tanpa kawalan pada setiap tahun.

Berapa ramai pula yang terlibat dengan kemalangan maut pada setiap musim perayaan akibat kelalaian dan tidak memperdulikan peraturan jalanraya sehingga mengorbankan ramai orang yang tidak bersalah.

Apabila hari raya, memang menjadi fitrah manusia suka berseronok. Tapi Islam mengajar kita mengikut peraturan tertentu supaya sambutan hari raya menjadi ibadat yang mendatangkan pahala. Antara jadual berhari raya, kita disunatkan mandi sebelum pergi ke masjid.

Kalau kita mandi biasa, tubuh kita saja yang bersih. Tapi apabila kita niat bahawa mandi sunat hari raya, bukan tubuh kita saja yang bersih dan berbau sedap bahkan kita dapat pahala.

Sesetengah orang tak berapa minat sangat nak cari pahala. Apa yang dia minat ialah cari duit dan harta saja. Kepada orang-orang sebegini, dia kena faham bahawa pahala adalah mata wang (currency) yang sangat berguna apabila kita masuk kubur. Apabila kita masuk kubur, kita tidak mati seratus peratus.

Yang mati dan hancur menjadi debu hanyalah jasad kita. Roh dan jasad kita akhirnya akan dibangkitkan kembali di akhirat nanti.

Sebagaimana jasad manusia di dunia ini berkehendak kepada makan minum. Untuk memenuhi keperluan fizikal di dunia ini, kita terpaksa gunakan wang untuk membeli makanan, minuman dan pelbagai keperluan lain.

Tapi apabila saja kita masuk ke dalam kubur, semua jenis mata wang dunia ini tidak laku lagi. Duit Amerika tak laku. Mas jongkong pun tak laku. Yang lakunya ialah pahala.

Pahala adalah aset dan mata wang yang kita sangat perlukan semasa berada di dalam kubur dan di Padang Mahsyar. Salah satu cara untuk kita mendapat pahala selain daripada berpuasa, bertadarus, bertarawikh ialah dengan kita berhari raya menurut cara yang telah ditunjukkan oleh Islam.

Kita diminta membayar zakat fitrah untuk membantu golongan fakir miskin. Tentunya oarng yang tidak berkemampuan tidak ramai.

Jadi, apabila semua orang yang berkemampuan membayar zakat fitrah, kita boleh fikir sendiri betapa banyaknya harta yang diberikan kepada fakir miskin yang membolehkan mereka tumpang berseronok sama.

Pada hari raya kita diminta memakai pakaian cantik, seboleh-bolehnya pakaian yang belum dipakai lagi. Kalau pakaian sudah dipakai pun tak apa, asalkan halal dan bersih. Kita tetap juga akan mendapat pahala.

Kita juga diminta membawa anak-anak ke masjid, ke surau, ke musalla untuk bertakbir mengagungkan Allah S.W.T dan seterusnya untuk mengerjakan sembahyang sunat hari raya demi untuk bersyukur di atas hidayah kurniaan Allah kepada kita dan juga untuk bertaqarrub kepada Allah 'Azza Wa Jalla.

Sembahyang sunat Aidilfitri ada bacaannya sepertimana yang dibacakan oleh Rasulullah S.A.W. Dalam sembahyang sunat Aidilfitri, Rasulullah S.A.W membaca Surah Qaaf dalam raka'at yang pertama dan Surah Al Qamar pada raka'at kedua. Kedua-dua Surah ini menyentuh tentang Kiamat.

Ketika umat Islam sedang berseronok, tiba-tiba Nabi kita membacakan Surah yang menceritakan tentang kedahsyatan huru-hara yang pasti akan berlaku pada Hari Kiamat nanti. Sekaligus ia bermaksud bahawa segala nikmat hidup di dunia ini pasti akan disoal dan akan dikenakan pembalasan.

Siapa pun yang hidupnya di dunia ini, apabila selaras dengan kehendak Al Quran akan dimasukkan ke dalam syurga. Apabila tak selaras dengan kehendak Al Quran, baik dalam masalah politik, ekonomi, kebudayaan, pendidikan, rumah tangga dan sebagainya dia akan masuk neraka. Wallahua'alam._

20.9.09

Obama sampaikan salam Aidilfitri kepada semua umat Islam

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan isteri Michelle menyampaikan salam Aidilfitri kepada semua umat Islam di seluruh dunia termasuk rakyat Malaysia yang menyambut ketibaan Syawal esok.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat di sini hari ini, Obama berkata:

"Ketika umat Islam di Amerika Syarikat dan seluruh dunia menyempurnakan ibadat puasa dan menyambut Aidilfitri, Michelle dan saya ingin menyampaikan ucapan peribadi kami pada hari yang menggembirakan ini."

Obama berkata berkata Aidilfitri adalah masa untuk menyambut berakhirnya ibadat puasa dan sembahyang sepanjang bulan Ramadan.

"Ketika sambutan ini, umat Islam memperingati golongan tidak bernasib baik termasuk orang miskin dan mereka yang mengalami kelaparan, konflik dan penyakit. Sepanjang bulan Ramadan, masyarakat Islam memungut zakat supaya semua umat Islam dapat menyambut perayaan dengan gembira," katanya. BERNAMA

18.9.09

selamat hari raya

Hari raya Idul Fitri atau Lebaran senantiasa dinanti oleh kaum muslimin di seantero dunia. Hari yang menandakan berakhirnya bulan penuh ibadah, penuh keberkahan dan ampunan dari Allah ini merupakan hari kebahagian. Anggota keluarga berkumpul, yang jauh berdatangan, handai taulan bersua, hadiah saling dibagikan, doa saling dipanjatkan dan ucapan salam dan selamat saling diberikan di hari yang dipenuhi gema takbir ini.

Sejalan dengan berlalunya Ramadhan tahun ini
Kemenangan akan kita gapai
Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi
Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa
Dalam kesempatan hidup ada keluasan ilmu
Hidup ini indah jika segala karena ALLAH SWT


Saya ingin memohon maaf jika ada menyinggung perasaan anda semua

ampunkan saya... maaf zahir dan batin..

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1430 H
Taqobalallahu minna wa minkum
Mohon maaf zahir dan batin


Ingatan Tulus Ikhlas

9W2WZD : wan zaid bin wan daud


Pstt : untuk warga ham,

jemputlah ke rumah nanty ye..beraya bersama2